Tazkirah 7 - Kesalahan Besar Yang Mesti dijauhi oleh Pendokong Jamaah : 1. Sombong (Takabbur)

Written By marhain jelata on 13 Jun 2008 | 2:29:00 PG

Kesalahan utama dan paling buruk jika menimpa akar umbi kebaikan ialah kesombongan, menurut kata hati dan memuji diri. Penyakit ini datang dari desakan syaitan dan hanya sesuai dengan dunia kejahatan. Tiada amalan soleh yang boleh dilakukan dengan desakan ini kerana 'kebesaran' adalah milik Allah semata-mata manakala 'kesombongan' manusia adalah jenayah yang nyata.

Hasil penyakit ini ialah hilangnya keberkatan dan pupus peluang untuk mendapat hidayah. Pengidap akan berterusan melakukan kebodohan dan perlakuan tanpa fikir sehingga semua langkah hanya mengakibatkan kemusnahan kepada diri dan jamaah.

Kemusnahan itu ditambah pula dengan timbulnya kebencian masyarakat terhadap jamaah dan usaha jamaah disebabkan kesombongan yang ditunjukkan oleh si pengidap.

Penyakit ini menjalar ke dalam jamaah melalui beberapa saluran. Mulanya, ia menyerang hati kecil individu apabila komitmen agama dan maruahnya dirasakan lebih baik daripada ahli yang lain dan masyarakat sekeliling. Kuman ini mengakibatkan si pengidap merasakan bahawa orang lain perlu menerima khidmatnya serta patut sekali dirinya dipuji oleh pihak lain.

Pada peringkat ini, syaitan akan meletakkan ke dalam pemikiran si pengidap bahawa dia lebih penting daripada orang lain. Seterusnya, apa yang ada di dalam pemikiran itu akan keluar melalui lidah dan perbuatan.

Selain itu, ada ketikanya individu yang melaksanakan tugas jamaah mendapat tempat di mata orang lain kerana kebaikan dan kesungguhannya. Namun akibat kelalaian menjaga diri dari hasutan syaitan, penghormatan itu mengakibatkan timbul kesombongan dan sifat menurut kata hati.

Usaha membebaskan diri dari penyakit ini perlu dilakukan oleh setiap ahli jamaah, khususnya penggerak dan pelaksana. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara, di antaranya:-

1. Berusaha memahami dan memasukkan konsep pengabdian diri hanya kepada Allah dengan kukuh ke dalam diri. Tiada yang lebih Akbar dari Allah, dan jangan lupa kepada hakikat bahawa kebesaran dan takabbur hanyalah hak istimewa Allah.

2. Berusaha menyelidik diri sendiri dengan menilai kebaikan diri secara kritis serta menginsafi dosa, kesalahan dan kekurangan diri yang pasti ada sehingga kita sibuk dengan urusan memohon keampunan dari Allah. Keadaan ini menyebabkan rasa bangga tidak berpeluang meresap ke dalam diri.

3. Berusaha menjaga ketinggian peribadi. Setiap orang wajib memastikan tidak terperangkap menghitung kerendahan kedudukan orang lain dalam ilmu, pengalaman dan kebolehan kerja sebagai penentu bahawa dirinya lebih tinggi daripada orang lain.

Manusia yang dikehendaki oleh Allah untuk mencapai peningkatan iman, akan sentiasa memandang ke atas melihat orang lain yang lebih baik, dan bukannya membongkok ke bawah melihat orang lain yang kurang kebaikannya. Tabiat ini akan mengelakkan tiupan rasa bangga dan sombong dengan apa yang telah dibuat dan dicapai oleh diri sendiri.

0 ulasan:

Catat Ulasan