Tazkirah 6 - Persaudaraan - Syura - Tatatertib - Teguran Membina

Written By marhain jelata on 10 Jun 2008 | 5:39:00 PG

- sambungan siri 5 -

Ukhuwwah

Ahli-ahli jamaah Islam wajib mengikat diri dengan kasih sayang sejati sesama mereka. Setiap seorang hendaklah mempunyai semangat sedia berkorban untuk kebaikan bersama. Mereka umpama sebuah bangunan - kekuatannya adalah pada susunan batu-bata yang dilekatkan oleh campuran simen. Jamaah hanya akan kuat sekiranya wujud tautan hati di antara anggotanya.

Unsur yang membawa kepada pertautan hati ini ialah:-

1. Kasih sayang yang suci.
2. Sifat bertimbang rasa yang murni.
3. Baik sangka dan bersemangat untuk berkorban sesama sendiri.

Persahabatan yang bersalut sifat tamak akan melahirkan pertelingkahan. Jamaah yang kuat hanya boleh wujud apabila ahli-ahlinya berfikir dengan penuh keikhlasan dan mereka sungguh-sungguh mencintai matlamat yang dituju. Kesungguhan mengejar matlamat dan keikhlasan berfikir akan menyemai rasa kasih sayang dan amanah di kalangan ahli. Jamaah sebegini umpama acuan keluli yang syaitan tidak akan dapat mencari walau satu lubang pun untuk mencelah masuk dan melakukan kerosakan.

Syura

Salah satu asas jamaah ialah segala kerja dilaksanakan setelah melalui syura/musyawarah. Semua gerak kerja mestilah melalui dan mematuhi peraturan-peraturan musyawarah itu. Jemaah yang dianggotai oleh manusia degil yang bertindak mengikut pendapat masing-masing, tidak layak dinamakan sebagai jamaah Islam. Ia hanya sebuah kumpulan gotong royong yang tidak akan berjaya menghasilkan gerak kerja yang benar-benar berkesan.

Jamaah akan ditimpa nasib buruk apabila seorang ahli atau beberapa orang ahli yang ada pengaruh bertindak menggabungkan diri membentuk satu kumpulan kecil dan mengarahkan orang lain menjalankan perintah mereka secara berlawanan dengan keputusan syura.

Gerakan yang berkesan hanya mampu dicapai melalui musyawarah sahaja kerana dengan cara ini ramai yang dapat tumpang berfikir dengan bijaksana mengenai segala kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sehingga menghasilkan keputusan terbaik.

Salah satu faedah musyawarah ialah apabila pendapat semua orang dipertimbangkan sebelum rumusan dibuat, maka seluruh jentera gerak kerja akan melaksanakan keputusan musyawarah itu dengan bersungguh-sungguh. Tiada seorang pun merasa bahawa dia telah dibebankan.

Musyawarah juga memberi peluang agar pelbagai aspek bagi sesuatu perkara atau masalah itu dikaji sedalam-dalamnya. Setiap yang terlibat akan benar-benar merasa bertanggungjawab mengambil berat segala rencana kerja jamaahnya. Hasilnya, semua pihak akan melaksanakan tanggungjawab berdasarkan keputusan mesyuarat dengan cepat dan tidak berlengah.

Dalam majlis musyawarah, setiap orang hendaklah memberikan pendapatnya dengan ikhlas serta tidak menyembunyikan apa yang ada di fikirannya. Ahli mesyuarat juga wajib menyingkirkan sifat kedegilan di dalam diri untuk mengelakkan suasana perbincangan yang tidak sihat.

Apabila keputusan telah diambil, sesiapa saja yang mempunyai pendapat yang bertentangan dengan keputusan itu wajib menerimanya dengan hati yang terbuka. Mereka tidak wajar mendesak supaya pendapat mereka juga yang mesti diterima.

Musyawarah yang tidak berdiri di atas unsur-unsur ini adalah sia-sia kerana ia hanya memungkinkan berlakunya pertelingkahan dalam jamaah.

Tatatertib

Amal jama'ie ditunjangi oleh tatatertib yang berpanjangan, kerjasama yang baik dan semangat suka bertindak secara jama'ie (team spirit).

Walau pun sesebuah jamaah itu mempunyai banyak unsur-unsur kebaikan, ia akan gagal apabila tidak dapat melaksanakan apa yang dirancang. Organisasi mungkar boleh mencapai tujuan mereka dengan kekuatan dalam keadaan ikatan yang penuh kepura-puraan, tetapi jamaah Islam hanya akan mencapai tujuan melalui usaha yang ikhlas dan berdisiplin. Seluruh jentera amal jama'ie wajib bertindak mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh jamaah itu sendiri.

Setiap amilin hendaklah menjalankan tanggungjawabnya mengikut bidang dan ruang kuasa masing-masing mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Setiap petugas juga wajib menginsafi bahawa mereka patut berusaha melaksanakan tugasan tanpa lengah. Setiap yang terlibat perlu bekerjasama erat untuk memaksimumkan keberkesanan kerja.

Jamaah yang memiliki suasana dan budaya kerja ini akan berhasil merealisasikan sesuatu rancangan itu sehingga berjaya. Jamaah yang terbentuk tanpa ciri ini tidak akan berjaya menyelaras atau melicinkan perjalanan pentadbirannya dan tidak akan dapat melaksanakan rancangan sehingga berjaya.

Teguran Membina

Jamaah Islam mesti mempunyai suasana yang membenarkan teguran-teguran membina diberikan oleh semua pihak dengan cara dan adab yang dibenarkan oleh syara'.

Jamaah yang hanya dianggotai oleh pak turut akan terdedah kepada pelbagai kesilapan walau pun mereka sedang melalui jalan yang benar. Akibatnya kelemahan yang ada akan berterusan tanpa langkah memperbaikinya sehingga jamaah tidak bertambah maju dari segala sudut.

Tiada perkara lain yang lebih merosakkan kesihatan sebuah jamaah Islam melainkan lemahnya semangat tegur menegur di kalangan anggotanya.

Syarat terpenting bagi sesuatu teguran itu ialah ia hendaklah dilakukan bukan dengan matlamat untuk mencungkil kesilapan semata-mata. Teguran hendaklah dikemukakan dengan tujuan membawa pembaharuan ke arah kebaikan.

Setiap ahli yang ingin menegur wajib sedar dan mengetahui cara-cara (adab-adab) yang sewajarnya dalam menyuarakan teguran.

Kemurnian teguran boleh mendatangkan bahaya, sama seperti bahaya yang dibawa oleh musuh, apabila ia hanya bertujuan untuk mencungkil dan mendedahkan kesilapan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih buruk lagi apabila teguran itu didorong oleh kepentingan diri.

0 ulasan:

Catat Ulasan