Tazkirah 5 - Penda'wah Juga Adalah Manusia - Sama Seperti Orang Yang Diseru

Written By marhain jelata on 04 Jun 2008 | 5:08:00 PG

Kita adalah manusia - kadangkala benar, kadangkala salah. Secara fitrah, manusia boleh sependapat dalam satu masa tetapi di masa yang lain mereka mungkin berbeza pendapat. Keadaan ini merupakan perkara biasa bagi sesiapa saja di pelbagai bidang kerja dan usaha manusia.

Namun di bawah naungan cinta kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah serta dorongan keikhlasan bersama tajarrud (membulatkan diri kepada Allah), segala kesalahan boleh diperbetulkan, setiap perbezaan pendapat boleh ditautkan, diselaras dan dirumuskan. Keadaan ini melahirkan budaya tolong menolong di antara kita semua.

Perbezaan pendapat dalam sesuatu perkara adalah tidak merbahaya selagi ditauti oleh rasa cinta dan kasih sayang. Sebaliknya, jika perbezaan itu ditonjolkan oleh manusia yang mempunyai kepentingan dan dikobarkan dalam suasana marah serta keinginan menghukum atau membela diri, merasa mulia melakukan dosa dan ta'ajjub pada diri sendiri, maka syaitan akan masuk campur dan melahirkan perpecahan. Akhirnya segala usaha menjadi hancur berantakan. Banyak waktu terpaksa dihabiskan untuk memuaskan nafsu perbalahan dan usaha perdamaian. Sekiranya perbalahan berterusan maka urusan dan kepentingan da'wah akan terkorban.

Kesalahan dalam perkara konsep diikuti dangkalnya kefahaman mengakibatkan penda'wah tergelincir lagi terpesong fikrah dan harakiahnya. Jika kegelinciran itu tidak dibendung, ia akan bercambah biak mengakibatkan pelbagai kegiatan dan tindakan fasad kecuali jika Allah memberikan rahmatNya dan melorongkan hamba-hambaNya yang terlibat itu kepada sirat al-mustaqim.

"Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, lalu kamu dicerai-beraikan dari jalanNya. Demikianlah Allah mewasiatkan kepadamu agar kamu bertaqwa." Al-An'am 153.

"Setiap pendokong gerakan Islam hendaklah sentiasa memperbaiki akhlaq serta mempertingkatkan ilmu di samping sering bermuhasabah memeriksa diri sendiri." - "Iklim peribadi dan jamaah secara langsung mencerminkan suatu da'wah yang boleh menarik dan memikat masyarakat untuk bersama mendokong perjuangan PAS." - "Ahli-ahli PAS berkewajipan melahirkan tanggapan positif masyarakat terhadap PAS. Mereka wajib mempertahankan nama baik jamaah ini sehingga segala prasangka dan tanggapan negatif masyarakat terhadap jamaah dapat dihapuskan." petikan ucapan dasar Presiden - Mu'tamar tahunan ke 40 - 10 Jun 1994 di Masjid Rusila Terengganu.

Justifikasi petikan ini ialah segala prasangka dan tanggapan negatif masyarakat terhadap PAS hanya akan dapat dihapuskan apabila ahli-ahli jamaah (khususnya petugas gerak kerja) berupaya menjadi model kepada semua mata yang memandang disekelilingnya. Keadaan ini hanya dapat dicapai sekiranya usaha memperbaiki akhlaq dan mempertingkatkan ilmu berjalan secara berterusan.

Kejayaan dan keberkesanan proses ini pula bergantung kukuh kepada satu mekanisme utama iaitu muhasabah diri atau memeriksa diri sendiri. Suburnya amalan ini akan mempercepatkan pembentukan individu dan jamaah contoh yang dicita-citakan. Pengabaian mekanisme ini akan mengakibatkan penda'wah atau pelaksana gerak kerja jamaah merasa berpuas hati dengan kualiti dirinya lalu terjadilah perkembangan yang statik sifatnya dalam hal meningkatkan nilai diri untuk menjadi aset utama jamaah.

Tidak melatih diri membudayakan self-inspection menyebabkan kita terperangkap untuk merasa bahawa diri kita adalah yang terbaik, sedangkan 'sesiapa yang menganggap dirinya pandai maka dia telah menjadi bodoh' - Mustafa Masyhur - Toriq Ad-Da'wah.

Budaya hisbah ini hendaklah disandarkan kepada beberapa asas utama jamaah yang telah sedia digariskan oleh ulama' serta panduan pengawasan anasir negatif yang ditekankan secara bersungguh-sungguh dalam kajian-kajian jama'ie.

Al-Maududi menegaskan di dalam kitabnya 'Pra-Syarat Kejayaan Harakah Islamiyah' bahawa asas-asas utama jamaah Islam ialah:

1 - Persaudaraan (Ukhuwwah)
2 - Musyawarah (Syura)
3 - Tatatertib (Disiplin)
4 - Teguran Membina (dalam konteks Hisbah)

.... perinciannya dalam siri akan datang ....

0 ulasan:

Catat Ulasan